Roundtable Discussion : Education for Freedom and Development

' Education for Freedom and Development ' adalah tema yang akan mengiringi perbincangan meja bulat yang akan diadakan bersempena dengan Minggu Hak Asasi Manusia (HAM) ini.

Perbincangan meja bulat yang bertajuk "Peranan Mahasiswa Membangunkan Pendidikan di Palestin" ini akan diadakan bersama-sama dengan barisan kepimpinan mahasiswa/i UKM dan para pelajar Palestin yang menuntut di IPTA/IPTS tempatan. Agenda utama perbincangan meja bulat ini adalah untuk menghasilkan satu resolusi bagaimana warga mahasiswa dapat menyumbang kepada kebajikan institusi pendidikan di Palestin.

Selayaknya, sebagai institusi pendidikan yang terkemuka di Malaysia, UKM harus menjadi pelopor kepada perkongsian idea, gagasan, tenaga, dan kepakaran bagi membantu meningkatkan kualiti pendidikan di Palestin. Adalah menjadi tanggungjawab warga UKM seluruhnya bagi memulakan langkah pro-aktif ke arah memastikan keperluan warga Palestin dari aspek pendidikan mula diberikan perhatian supaya bantuan tidak hanya tertumpu kepada keperluan makanan, pakaian, perubatan, dan kewangan sahaja.

Perbincangan meja bulat ini akan dibahagikan kepada 2 sesi. Sesi pertama pada sebelah pagi akan diisi dengan pembentangan kertas kerja manakala sesi kedua pada sebelah petang akan dimeriahkan dengan perbincangan dan lontaran idea daripada wakil-wakil pimpinan pelajar IPTA dan IPTS dalam usaha menghasilkan satu resolusi ke arah membantu membangunkan pendidikan di Palestin.

Berikut adalah jemputan bagi perbincangan meja bulat ini:
a) Pengucaptama - Prof. Madya Dr. Hafidzi Mohd Noor, Pengarah Palestine Centre of Excellence (PACE)
b) Pembentang kertas kerja I - wakil Al-Aqsa Friends' Society
c) Pembentang kertas kerja II - Mus'ab Muzahar, YDP MPP Unimas, Aktivis Mahasiswa ke Misi Aqsa2Gaza2
d) Pembentang kertas kerja III - wakil Aqsa Syarif Berhad

Resolusi yang dihasilkan melalui perbincangan ini akan dibukukan dan diserahkan kepada TNC Hal Ehwal Pelajar dan Alumni semasa majlis penutup HAM nanti. Semoga resolusi yang bakal diputuskan akan mendapat sokongan pelbagai peringkat di UKM khasnya dan Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia amnya.