Tabung Pendidikan Palestin : RM 100,000.00

Salah satu daripada objektif utama penganjuran Minggu Hak Asasi Manusia (HAM) ini ialah menjalankan kutipan derma khas untuk Tabung Pendidikan Palestin bagi membantu usaha memperkasa pembangunan pendidikan di Palestin.

Sejak tahun 2006, Gaza telah mengalami sekatan ekonomi dan bekalan luar daripada dibawa masuk ke Gaza oleh Israel dan sekutunya. Dan pada akhir 2008, Israel telah membedil Semenanjung Gaza bertubi-tubi memusnahkan sekolah, hospital, kilang, bangunan, rumah dan pelbagai lagi infrastruktur utama.
Akibatnya, ia memberi impak yang sangat negatif kepada penduduk Gaza di mana 80% penduduk berada di bawah garis kemiskinan manakala kadar pengangguran meningkat kepada 50%. Selain itu, statistik daripada PBB menunjukkan bahawa kehadiran dan prestasi di sekolah umum telah menurun akibat dari infrastruktur pendidikan yang terhad, bilangan kelas yang terhad dan pelajar terlalu ramai dalam sesebuah kelas; ditambah lagi dengan gangguan dari operasi tentera Israel setiap hari. Pada semester pertama persekolahan tahun 2007-2008, hanya 20% dari 16,000 pelajar kelas enam di Gaza lulus ujian standard  Matematik, Sains, Bahasa Inggeris dan Arab.

United Nations Children's Fund (UNICEF) menegaskan seramai 1.9 juta anak Palestin kini diancam kemiskinan, kematian dan tekanan mental akibat penjajahan Zionis-Israel. Pendidikan mereka terjejas dengan begitu teruk. Sekatan ke atas Gaza masih berterusan. Tujuan Zionis adalah untuk memberi tekanan ke atas pemerintahan Hamas, tetapi yang menerima kesan ialah rakyat Palestin. Sehingga kini, 82% sekolah-sekolah di Gaza masih belum dibaiki akibat serangan yang dilakukan oleh Zionis. Selain itu, pagar duri yang berada di sekitar Gaza merumitkan lagi pergerakan kanak-kanak Palestin untuk mendapatkan pendidikan.



Oleh yang demikian, dengan bertemakan ”Hope and Future”, Tabung Pendidikan Palestin akan dijalankan untuk menyalurkan bantuan demi memperkasakan pembangunan pendidikan di Palestin. Projek ini mensasarkan kutipan sebanyak RM100,000.00  dan sumbangan akan disalurkan melalui NGO Palestin berdaftar iaitu Aqsa Syarif Berhad untuk projek-projek yang berbentuk pendidikan iaitu pembinaan sekolah tahfiz, pembinaan makmal komputer di Universiti Gaza, dan pembiayaan peralatan sekolah bagi projek ’Back to School’.

Maka, dari tempoh 18 Februari - 17 Mac 2012, pihak penganjur berhasrat menggunakan pelbagai medium dan pendekatan bagi menjayakan matlamat ini. InsyaAllah, nantikan kehadiran kami dalam roadshow yang akan dijalankan di sekitar Bangi dan Kajang serta IPT yang terpilih. Bagi yang ingin menyumbang tetapi tidak berkesempatan untuk menghadiri program kami mahupun yang tidak dapat kami ziarah dalam roadshow-roadshow kami, bolehlah menghulurkan bantuan melalui akaun bank yang telah khususkan untuk program ini:

Maybank : 1622-6347-5542 atau BIMB : 1202-9020-7422-14

Untuk sebarang pertanyaan bolehlah berhubung dengan Encik Ahmad Syukery Azizan, Penyelaras Tabung Pendidikan Palestin di talian 013-7297785.